Apabila kita berbicara tentang nilai dan akhlak dalam ekonomi dan muamalah Islamiah, kita akan lihat empat nilai utana, iaitu: Rabbaniyah, Akhlaqiyyah, Wasatiyyah dan Insaniyyah. Nilai-nilai inilah ciri-ciri utama ekonomi Islam, bahkan sebenarnya ia merupakan ciri-ciri am yang terdapat pada segala sesuatu yang Islamiah.
Bertitik tolak dari sinilah, kita mampu menyatakan dengan keyakinan dan ketenangan bahawa sistem ekonomi Islam amat berbeza dari sistem-sistem yang lain.
Rabbaniyah
Ekonomi Islam adalah ekonomi yang berpusat kepada Islam. Maka secara langsung, ia adalah sebuah ekonomi rabbani, kerana dasar bergerak bagi seluruh kegiatan ekonomi adalah Allah s.w.t. Dalam erti kata lain, segala kegiatan ekonomi samada pengeluaran, pengedaran, pembahagian, berdiri teguh diatas dasar-dasar syariat Islam.
Kerana itu, amatlah penting supaya sistem perundangan berlandaskan syariah dilaksanakan dan diselaraskan agar dapat mengharmonikan kegiatan ekonomi sesebuah negara. Atas dasar tersebut, pentadbiran ekonomi Islam tersebut menjadi hakikat yang tidak dapat diabaikan.
Teras 1: Pengharmonian Sistem Perundangan Dan Tadbir Urus Negara Selaras Dengan Kehendak Syariah
Akhlaqiyah
Salah satu ciri khas yang membezakan sistem Islam dengan sistem-sistem yang lain adalah: sistem Islam tidak memisahkan ekonomi dengan akhlak. Akhlakah yang menjadi penjalin dan penopan kehidupan Islam. Ini amat berbeza dengan amalan ekonomi zaman ini yang menekankan “profit maximization” sehingga mengabaikan keperluan akhlak dan norma etika masyarakat.
Adakalanya, “business entity” melakukan kegiatan mereka tanpa mengira impak sosial dan alam sekitar. Ini terlarang sama sekali di dalam Islam. Kerana itu, tidak dapat tidak, pembangunan modal Insan yang cemerlang perlu ditekankan.
Teras 2: Peningkatan Kualiti Pendidikan Ke Arah Pembinaan Modal Insan Cemerlang
Pada masa yang sama, sebuah pentadbiran berakhlak yang bebas dari korupsi dan perkiraan keuntungan kebendaan diperlukan untuk memastikan ekonomi yang berkesinambungan (Sustainable) dan mampan.
Teras 3: Pembentukan Sebuah Kerajaan Yang Berintegriti Dan Beramanah Serta Bebas Daripada Korupsi
Wasatiyah
Individualisme adalah asas kepada Sistem Kapitalisme. Ia menekankan hak individu secara berlebihan sehingga kemaslahatan umum terjejas. Islam memilih jalan keadilan yang seimbang diantara semua sistem. Hak-hak dan kebebasan individu seperti hak bersuara dan hak bernegeri di dalam konsep federalisme terpelihara.
Teras 4: Pemerkasaan Suara Rakyat Selaras Dengan Tuntutan Syura Dan Amalan Demokrasi
Teras 5: Pengukuhan Semula Konsep Federalisme Dengan Mengembalikan Hak-Hak Tertentu Kerajaan Negeri
Insaniyah
Tujuan utama sebuah sistem ekonomi adalah mewujudkan sebuah kehidupan yang baik bagi manusia dengan segala unsur dan pensyaratannya. Kerana itu, kegiatan ekonomi harus merangkumi setiap aspek kehidupan – dari sistem sokongan sosial bagi golongan yang memerlukan, sehingga urusan sara hidup dan pendapatan serta agihan kekayaan negara. Setiap manusia harus merasai kemakmuran ekonomi dan kegemilangan negara.
Teras 6: Penambahbaikan Keberkesanan Sistem Sokongan Sosial Untuk Golongan Yang Memerlukan
Teras 7: Pemberdayaan Rakyat Untuk Meredakan Kesan Peningkatan Inflasi Dan Kenaikan Kos Sara Hidup
Teras 8: Penambahan Pendapatan Boleh Guna Dan Penjanaan Peluang Baru Untuk Rakyat
Teras 9: Pengurangan Jurang Agihan Pendapatan Dan Kekayaan Ekonomi Antara Kawasan Bandar Dan Luar Bandar